Jika anda seorang pelajar, cuba tanya diri anda, adakah anda suka subjek Bahasa Inggeris? Jika anda seorang pekerja atau usahawan, adakah anda selesa menggunakan Bahasa Inggeris? Jika anda sudah biasa menggunakan Bahasa Inggeris di rumah, tentulah subjek ini bukan satu subjek yang susah bagi anda. Namun, jika tidak ada langsung sesiapa yang pandai berbahasa Inggeris di rumah mahupun di kampung anda, tentu subjek ini begitu mencabar bukan? Tidak perlu saya terangkan apakah kelebihannya jika anda boleh menguasai Bahasa Inggeris dan mampu bertutur dengan lancar dalam bahasa ini. Kita akan terus bincangkan bagaimanakah caranya anda boleh memajukan tahap kemahiran anda berbahasa Inggeris ini. Sebelum itu, satu perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda ialah, sedar atau tidak, jika seseorang itu lemah dalam subjek Bahasa Inggeris di sekolah rendah, dia akan terus lemah hingga masuk ke sekolah menengah, kolej mahupun universiti. Pelik bukan? Benar, bukan semua pelajar begini tetapi majoritinya begitu. Bagi yang berjaya keluar dari kepompong masalah lemah subjek Bahasa Inggeris, pasti ada sesuatu yang telah mereka berjaya lakukan hingga mereka berubah daripada lemah subjek Bahasa Inggeris kepada hebat dan boleh bertutur dengan lancar dalam subjek tersebut. Jadi, dalam topik 7 petua pandai Bahasa Inggeris ini, saya akan kongsikan tips dan teknik yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang berjaya memajukan pencapaian mereka dalam subjek Bahasa Inggeris. Mahukah anda tahu petua-petua dan tips-tips ini semua? Kita mulakannya sekarang.. Selamat membaca. Saya akan menerbitkan satu petua untuk satu minggu. Petua 1 Mari kita mulakan dengan petua yang pertama. Petuanya ialah ‘kegagalan atau kelemahan anda pada masa yang lalu bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri anda’. Bagi saya, jika anda mahu memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris anda, petua pertama ini adalah petua yang paling penting. Mengapa? Saya percaya, halangan utama untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris bermula di dalam minda anda. Jika selama ini anda lemah dalam subjek ini, selalu gagal dalam peperiksaan atau mendapat gred yang tidak memuaskan, selalu diketawakan apabila berbahasa Inggeris dan selalu merasa tertekan apabila berada di dalam kelas Bahasa Inggeris, anda akan hadapi kesukaran untuk menguasainya. Selalunya, jika tahap penguasaan bahasa Inggeris anda lemah, anda pasti ada masalah keyakinan diri untuk mempelajari subjek ini. Anda juga akan hilang keinginan untuk mempelajarinya kerana anda percaya bahawa anda memang tidak berbakat dan tidak mungkin menguasainya. Satu berita baik untuk anda, seperti yang saya katakan pada awal petua ini, kegagalan yang lepas bukanlah kebolehan sebenar anda. Menurut satu kajian, otak manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari 12 bahasa tanpa sebarang masalah. Masalahnya cuma terletak pada minda di mana anda mungkin selalu memandang rendah pada kebolehan diri sendiri. Begini. Mulai hari ini, apabila anda mahu belajar Bahasa Inggeris, lupakan kegagalan anda yang lalu. Bayangkan suatu ketika pada masa akan datang. Bayangkan anda sudah biasa bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan anda sedang berbual-bual dalam bahasa Inggeris dengan beberapa pelancong daripada Eropah. Rasakan betapa seronoknya apabila anda dapat bertutur dalam bahasa ini dengan begitu lancar dan mudah. Mulai hari ini, apabila anda mahu membaca sesuatu dalam bahasa Inggeris, bayangkan dahulu yang anda memang sudah biasa menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian anda. Mulai hari ini, apabila anda berdiri di hadapan cermin, cuba senyum dan bayangkan yang anda sedang bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan lancar. Anda tidak perlu menyebut apa-apa langsung. Anda cuma perlu senyum, jangan berkata apa-apa dan bayangkan yang anda sedang berbicara dalam bahasa Inggeris. Bunyinya mungkin agak pelik tetapi jika anda lakukan beberapa kali dengan bersungguh-sungguh, anda akan mula rasa keyakinan diri anda meningkat. Apabila keyakinan diri ini meningkat, akan timbul keinginan dalam diri anda untuk terus berusaha memajukan tahap penguasaan bahasa Inggeris anda. Selamat mencuba.
|
Friday, July 9, 2010
Teknik Belajar Bahasa Inggeris
Teknik Belajar Matematik
Bagi permulaan, kita akan cuba mempraktikkan teknik-teknik belajar matematik. Mula-mula sekali, kita kena suka matapelajaran tu. Habis, kalau kita dah memang tak suka macam mana? Caranya, mula-mula buat-buat macam kita sukakan matapelajaran tu. Kita macam berlakon sikit yang kita suka subjek tu. Kemudian, mula buat latihan sedikit demi sedikit. Tak perlu terus mula dengan 100 soalan. Bukan apa, takut terkejut nanti lepas tu terus makin benci.
Kedua, matematik adalah latihan dan latihan adalah matematik. Maksud saya, matematik adalah satu subjek yang anda perlu buat latihan untuk menguasainya, bukan membaca. (Ada pelajar yang belajar matematik dengan hanya membacanya). Saya berjaya menguasai matematik kerana saya ikut Bills Gate buat latihan. Semakin banyak latihan saya buat, saya jadi semakin cekap.
Ketiga, matematik adalah matapelajaran yang memerlukan disiplin. Walaupun anda faham topik tertentu, anda tidak akan dapat menjawab dalam masa yang diberikan jika anda tidak mendisiplinkan diri untuk menjawab soalan matematik. Setiap kali anda berlatih menjawab soalan matematik, catat masa yang anda ambil. Selalunya anda ada masa kurang daripada 3 minit untuk menjawab satu soalan. Jadi, cuba kejar masa itu,
maksud saya, cuba latih menjawab dengan secepat mungkin.

Keempat, anda perlu HAFAL SIFIR! Saya tahu ramai pelajar yang merungut tentang perkara ini. Ada pelajar tingkatan lima yang saya uji dengan sifir 7 pun tidak lepas. Alasan mereka, mereka boleh guna mesin kira, mengapa perlu ingat sifir?
Persoalannya ialah, hafal sifir bukan sahaja untuk mengetahui berapa 5 x 5 dan berapa 12 x 7. Tetapi, menghafal sifir akan membuat otak anda lebih cepat dan cekap mengira. Kalau asyik bergantung kepada mesin kira, daya pemikiran anda akan semakin lemah kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh otak anda. Lihat mereka yang handal matematik, pasti mereka cekap juga dalam sifir.
Akhir sekali, anda perlu ada azam dan kemahuan untuk jadi hebat dalam subjek matematik. Jika anda kisah tidak kisah, sukar untuk anda kuasai subjek ini. Insyaallah saya akan kongsikan lagi di masa akan datang petua-petua untuk menguasai matapelajaran matematik ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)